Tuesday, December 24, 2013

BIRI BIRI Ku



Ternakan biri-biri boleh dikatakan masih baru kerana tidak terdapat penternak yang mengusahakannya secara komersial berbanding kambing.
Justeru, kerajaan telah memberikan keutamaan untuk mempertingkatkan industri daging kambing dan biri-biri untuk mengurangkan pergantungan kepada daging import.
Pada tahun 2005, bekalan daging kambing dan biri-biri import di pasaran tempatan melebihi 15,000 tan metrik atau 92.6 peratus daripada bekalan keseluruhan.
Populasi biri-biri tempatan dianggarkan berjumlah 115,500 ekor dan jumlah ini akan mempengaruhi pembangunan industri biri-biri negara.
Industri biri-biri boleh dikatakan masih di peringkat 'bayi' walaupun ternakan biri-biri sudah lama bertapak di sini.
Selama ini ternakan biri-biri dijalankan secara tradisional.
Walaupun baka seperti Dorset, Wiltshire horn, Suffolk dan biri-biri rerambut seperti Bali-Bali, Barbados Black Belly dan St. Ines dibawa masuk sejak 20 tahun lalu bagi meningkat prestasi biri-biri tempatan atau Malin tetapi baka yang dibentuk tidak pernah stabil.
Antara penyebab kelembapan industri biri-biri di negara ini adalah kekurangan baka berkualiti dan subur.
Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, biri-biri Dorper yang berasal dari Afrika Selatan merupakan baka baru yang berpotensi diternak di negara ini.
"MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak tahun 2006 bagi penilaian sebagai baka pejantan (terminal meat sire breed) untuk dikacukkan dengan biri-biri betina tempatan.
"Biri-biri Dorper yang dibawa masuk ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan, Pahang," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor.
Kali kedua pada Julai tahun lalu, MARDI membawa masuk 220 ekor baka Dorper tulen dari Afrika Selatan.
Sebanyak 200 ekor betina dan 20 ekor jantan dibawa masuk bagi meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan MARDI untuk mengkaji kesesuaian baka dalam iklim dan persekitaran tempatan bertujuan penggandaan baka tulen dan kacukan dengan biri-biri tempatan.
Hasil kajian awal mendapati 150 ekor anak dilahirkan daripada baka pejantan Dorper yang dihasilkan di Sungai Baging telah menunjukkan pertambahan kadar tumbesaran lebih 30 peratus jika dibandingkan dengan anak biri-biri dari baka kacukan lain.
Dr. Mohmad berkata, sehingga kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mula menternak biri-biri Dorper di beberapa buah ladang di Johor.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, baka biri-biri Dorper adalah setanding dengan kambing Boer.
''Jika kambing Boer sesuai dengan pelbagai jenis cuaca, biri-biri Dorper mempunyai ciri-ciri yang sama.
"Maklumat mendapati sejumlah lima juta biri-biri Dorper diternak di Afrika Selatan dan banyak negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah telah mengimport baka tersebut untuk dibiakkan di tempat mereka," katanya.
Dr. Mohmad menjelaskan, negara mengimport banyak daging biri-biri berbanding kambing. Ini kerana orang ramai tidak tahu membezakan antara daging kambing dan biri-biri.
Beza
"Daging kambing dikenali sebagai adalah chevon, manakala biri-biri adalah mutton dan biri-biri muda berusia empat bulan adalah lamb," jelas beliau.
Beza antara chevon dan mutton adalah kandungan kolestrolnya.
Walaupun kandungan kolestrol dalam biri-biri lebih tinggi berbanding kambing tetapi kajian menunjukkan mutton mengandungi lebih banyak kolestrol berbanding lamb.
Dr. Mohmad berkata, biasanya berat badan biri-biri Dorper antara 30 hingga 40 kilogram (kg) ketika berumur enam hingga lapan bulan belum mengumpulkan lemak yang tinggi berbanding biri-biri import.
Baka biri-biri Dorper dibawa masuk bagi memenuhi keperluan penternak di Pantai Timur.
Baka tempatan bermutu rendah dengan dewasa hanya mencapai berat badan 20 hingga 25 kg dalam masa dua tahun.
Manakala baka Dorper tulen pula boleh mencapai berat 30 hingga 35 kg hanya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
"Kambing Boer dengan pengurusan yang teratur dan makanan berkualiti boleh mencapai berat badan antara 25 hingga 30 kg dalam masa tiga atau empat bulan," katanya..
Seperti kambing Boer, biri-biri Dorper jenis rerambut dipilih kerana tidak menghadapi masalah ketegasan dan sesuai dengan keadaan lembap di negara ini.
Pengenalan baka biri-biri Dorper, kata Dr. Mohmad amat diperlukan memandangkan industri ternakan telah memberi sumbangan besar dalam pengeluaran makanan negara dengan jumlah RM5.729 billion.
Industri penternakan bukan ruminan seperti unggas telah menyumbang 94 peratus atau RM5.4 billion sementara sektor ruminan hanya enam peratus atau RM0.329 billion.
"Keperluan daging ruminan akan terus meningkat tahun demi tahun dan pergantungan kepada import perlu dikurangkan," katanya.
Justeru agensi kerajaan dan swasta perlu berganding bahu dalam mewujudkan satu sistem pengeluaran yang produktif dan berdaya maju bagi meningkatkan bekalan tempatan dalam masa terdekat.
Industri ternakan ruminan perlu diteruskan dengan penumpuan kepada meningkatkan populasi pembiak.
Industri berkenaan perlu berkembang secara lebih agresif, sistematik serta moden dengan sekala komersial.

 Pengenalan Baka Dorper

l Baka Dorper berasal dari Afrika Selatan telah dibangunkan dalam tahun 1900 hasil gabungan baka biri-biri Parsi dan Dorset.
l Ketika ini Dorper adalah baka biri-biri pedaging terulung di dunia.
l Di Afrika Selatan terdapat lebih lima juta ekor baka Dorper.
l Baka ini dipilih kerana dijangka berupaya menyesuaikan diri dengan iklim tempatan, kadar kenaikan berat badan tinggi, kadar kembar tinggi, pengeluaran susu yang banyak serta karkas berkualiti (nisbah daging kepada tulang yang tinggi).
l Baka ini mudah dipelihara dan tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai
l Ia dapat menggunakan makanan (pastura dan dedak secara optimum) dengan kadar kematian rendah dan imun terhadap penyakit dengan kadar kesuburan tinggi dan banyak anak dapat dipasarkan
l Baka yang menarik dan popular dari jenis pedaging dengan kesuburan yang tinggi dan berupaya untuk musim pembiakan yang panjang sepanjang tahun
l Baka ini sangat subur dengan kadar bunting yang tinggi dan pejantan boleh dikahwinkan dengan lebih 30 induk betina dalam masa 40 hingga 60 hari.
l Kadar kelahiran boleh dijadualkan setiap lapan bulan (tiga kelahiran dalam masa dua tahun) dengan kadar kembar yang tinggi. Dengan pengurusan yang baik kadar kelahiran lebih 150 peratus dapat dihasilkan
l Induk betina mempunyai ciri keibuan yang baik dan dengan penghasilan susu yang tinggi dapat memelihara anak dengan baik sehingga cerai susu dengan peratus cerai susu yang tinggi
l Kadar kenaikan badan yang tinggi. Dengan pemakanan yang baik anak baka tulen Dorper boleh mencapai berat badan 30 hingga 35 kilogram (kg) dalam masa tiga hingga empat bulan
l Mempunyai kualiti karkas yang baik dengan pertumbuhan lemak dalam daging yang serata menjadikan karkas mencapai Gred Super di pasaran
l Walaupun baka Dorper pada asalnya dibangunkan untuk dipelihara di kawasan panas dan kering di Afrika Selatan namun ia didapati sesuai dipelihara di pelbagai iklim dengan pemakanan yang pelbagai di dalam beberapa sistem pemeliharaan sama ada sistem intensif, semi-intensif atau bebas baik dalam kawasan padang pasir, tropika atau lembap.
l Pada masa ini terdapat 220 ekor Dorper tulen di negara ini dan MARDI sedang meningkatkan mutu baka sedia ada di Stesen MARDI, Kluang.
Di stesen MARDI Sungai Baging peningkatan genetik baka Dorper telah dilaksanakan melalui natural mating dan kaedah permanian beradas. Dijangka industri Dorper akan berkembang memandangkan bilangan import daging terus meningkat.

Monday, January 21, 2013

KELAPA MATAG


KELAPA MATAG (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa yang di galakkan untuk ditanam di negara kita oleh pihak kerajaan. Kelapa adalah dari keluarga Arecaceae atau Keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, buah, daun, sabut, air, tempurung dan isinya oleh ramai penduduk terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka kita akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam dikawasan tanah persisir pantai. Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan jenis 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walau pun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (Kurang hampir 10,000 hektar) tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa MATAG dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.

Apa itu Kelapa MATAG?
Kelapa MATAG adalah nama singkatan bagi kacukan antara kelapa jenis MALAYAN TALL dangan kelapa jenis TAGNANAN yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Industri tanaman kelapa di negara kita merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi dalam pembasmian kemisikinan dikalangan pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa jenis Malayan Tall yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasanseperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang rendah. Bagaimana pun pengenalan jenis kelapa Matag telah membantu mengekalkan penanaman kelapa di negara kita kerana permintaan kelapa terus meningkat.





Penanaman kelapa Matag telah mula dikomersilkan di sebuah Estet Swasta di Perak dengan keluasan sekitar 2,200 hektar semenjak dulu dan mampu mengeluarkan beratus juta biji kelapa setahun. Ladang Jendarata milik United Plantation menanam kelapa Matag ini untuk pengeluaran kelapa segar dan juga merupakan satu-satunya pengeluar anakbenih tulin kelapa matag di negara kita secara komersil. Jabatan Pertanian juga ada mengeluarkan benih kelapa matag yang tulin dari beberapa Stesyen Kelapa. Pada satu masa dahulu Ladang Jenderata membekalkan sebanyak 66% daripada jumlah keperluan penanaman kelapa matag kepada Jabatan Pertanian dalam Program Penanaman Semula Kawasan Kelapa. Pada peringkat awal kos bagi pembelian anakbenih kelapa matag cuma RM 6.50 sepokok dan kemudian telah meningkat kepada RM 15.00 sepokok 2-4 tahun lalu dan kini pada tahun 2012 telah mencecah kepada RM 22.00 sepokok!. Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran yang meningkat dan keadaan cuaca yang banyak hujan menyebabkan peratusan kejayaan untuk mendapatkan anakbenih kelapa matang rendah menyebabkan kos jualan anakbenih kelapa matag telah banyak meningkat.





Anakbenih tulin merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa matag. Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih matag daripada pembekal yang disahkan mampu menyediakan benih tulin iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja. Walau pun ada nurseri swasta yang dakwa mempunyai anakbenih kelapa matag, kita perlu awasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45 -50% sahaja yang jadi kelapa matag. Selainnya tidak 50% lagi tidak menjadi kelapa matag mungkin jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain. Penyediaan anakbenih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari Pokok Jenis Tagnanan (Tinggi) dengan Pokok Jenis Malayan Red Drawrf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) yang rendah dan renek. Debunga Tagnanan di sembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat. Lazimnya selepas setahun baru kita akan dapat anak benih matag selepas proses pemilihan (Culling) pokok yang bukan jenis matag.



Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar. Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima. Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman. Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nenas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek , keladi dan sebagainya. Kaedah ini akan mempastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah. Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan. Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan  NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun ke-4 atau tahun ke-5. Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.





Masaalah serangan Kumbang Tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal (Lihat foto sebelah). Kumbang tanduk yang masuk kedalam anak pokok yang baru ditanam memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran. Perosak lain tanaman kelapa seperti Kumbang Jalur Merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mil/pokok) iaitu cara 'trunk injection'. Masaalah lain seperti serangan ulat beluncas, serangga Coconut Leaf Miner (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.





Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan kelapa jenis Malayan Tall sedia ada dimana dalam pemerhatian saya ada petani seawal 3-4 tahun mula memetik dan menjual hasil Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian. Kebanyakan petani menanam dengan tanaman selingan seperti pisang, herba, koko, sayur-sayuran malahan ada yang menanam dicelah-celah kelapa sawit. Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji /ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar / tahun (umur pokok 9 tahun). Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji/hektar /tahun. Hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik.




Kajian tersebut juga melaporkan sebanyak 44% peserta telah mendapat pendapatan bersih bulanan melebihi RM 1,000 sebulan dan menyatakan bahawa projek penamanan semula kelapa matag adalah dianggap berjaya. Data diatas menunjukkan bahawa penanaman kelapa matag telah mengubah sasaran penghasilan kelapa di negara kita daripada sebanyak purata 3,500 biji/ hektar /tahun oleh kelapa Malayan tall kepada sebanyak lebih dari 22,000 biji sehektar setahun melalui penanaman baru atau pennaman semula kelapa. Pencapaian program penanaman semula kelapa dalam RM ke 8 dan RM ke 9 dilaporkan adalah sebanyak 5,517 hektar dengan sebanyak 340 projek yang melibatkan seramai 6,500 petani. Program pemulihan kawasan kelapa pula melibatkan kawasan seluas 1,250 hektar dengan seramai 1,700 orang petani.





Malaysia masih merupakan pengguna tegar produk kelapa untuk kegunaan harian. Banyak menu makanan harian menggunakan asas produk santan kelapa seperti Nasi Lemak, Masakan kari, Kueh Mueh, Masak lemak cili padi, masak lemak putih dan bermacam lagi jenis masakan. Santan segar atau santan siap proses kini terdapat dipasaran dengan harga yang berpatutan. Keperluan produk kelapa dimusim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bertambah berlipat kali ganda untuk masak rendang serta lain2 menu menyebabkan berlaku pengimpotan buah kelapa dari negara jiran (terutamanya dari Indonesia) untuk menampong kekurangan. Program menambahkan kawasan atau menanam kelapa jenis baru seperti kelapa matag dijangka dapat memenuhi keperluan kelapa untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang.