KELAPA MATAG (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa yang di galakkan untuk ditanam di negara kita oleh pihak kerajaan. Kelapa adalah dari keluarga Arecaceae atau Keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, buah, daun, sabut, air, tempurung dan isinya oleh ramai penduduk terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka kita akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam dikawasan tanah persisir pantai. Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan jenis 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walau pun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (Kurang hampir 10,000 hektar) tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa MATAG dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.
Apa itu Kelapa MATAG?
Kelapa MATAG adalah nama singkatan bagi kacukan antara kelapa jenis MALAYAN TALL dangan kelapa jenis TAGNANAN yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Industri tanaman kelapa di negara kita merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi dalam pembasmian kemisikinan dikalangan pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa jenis Malayan Tall yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasanseperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang rendah. Bagaimana pun pengenalan jenis kelapa Matag telah membantu mengekalkan penanaman kelapa di negara kita kerana permintaan kelapa terus meningkat.
Penanaman kelapa Matag telah mula dikomersilkan di sebuah Estet Swasta di Perak dengan keluasan sekitar 2,200 hektar semenjak dulu dan mampu mengeluarkan beratus juta biji kelapa setahun. Ladang Jendarata milik United Plantation menanam kelapa Matag ini untuk pengeluaran kelapa segar dan juga merupakan satu-satunya pengeluar anakbenih tulin kelapa matag di negara kita secara komersil. Jabatan Pertanian juga ada mengeluarkan benih kelapa matag yang tulin dari beberapa Stesyen Kelapa. Pada satu masa dahulu Ladang Jenderata membekalkan sebanyak 66% daripada jumlah keperluan penanaman kelapa matag kepada Jabatan Pertanian dalam Program Penanaman Semula Kawasan Kelapa. Pada peringkat awal kos bagi pembelian anakbenih kelapa matag cuma RM 6.50 sepokok dan kemudian telah meningkat kepada RM 15.00 sepokok 2-4 tahun lalu dan kini pada tahun 2012 telah mencecah kepada RM 22.00 sepokok!. Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran yang meningkat dan keadaan cuaca yang banyak hujan menyebabkan peratusan kejayaan untuk mendapatkan anakbenih kelapa matang rendah menyebabkan kos jualan anakbenih kelapa matag telah banyak meningkat.
Anakbenih tulin merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa matag. Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih matag daripada pembekal yang disahkan mampu menyediakan benih tulin iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja. Walau pun ada nurseri swasta yang dakwa mempunyai anakbenih kelapa matag, kita perlu awasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45 -50% sahaja yang jadi kelapa matag. Selainnya tidak 50% lagi tidak menjadi kelapa matag mungkin jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain. Penyediaan anakbenih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari Pokok Jenis Tagnanan (Tinggi) dengan Pokok Jenis Malayan Red Drawrf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) yang rendah dan renek. Debunga Tagnanan di sembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat. Lazimnya selepas setahun baru kita akan dapat anak benih matag selepas proses pemilihan (Culling) pokok yang bukan jenis matag.
Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar. Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima. Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman. Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nenas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek , keladi dan sebagainya. Kaedah ini akan mempastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah. Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan. Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun ke-4 atau tahun ke-5. Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.
Masaalah serangan Kumbang Tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal (Lihat foto sebelah). Kumbang tanduk yang masuk kedalam anak pokok yang baru ditanam memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran. Perosak lain tanaman kelapa seperti Kumbang Jalur Merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mil/pokok) iaitu cara 'trunk injection'. Masaalah lain seperti serangan ulat beluncas, serangga Coconut Leaf Miner (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.
Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan kelapa jenis Malayan Tall sedia ada dimana dalam pemerhatian saya ada petani seawal 3-4 tahun mula memetik dan menjual hasil Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian. Kebanyakan petani menanam dengan tanaman selingan seperti pisang, herba, koko, sayur-sayuran malahan ada yang menanam dicelah-celah kelapa sawit. Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji /ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar / tahun (umur pokok 9 tahun). Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji/hektar /tahun. Hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik.
Kajian tersebut juga melaporkan sebanyak 44% peserta telah mendapat pendapatan bersih bulanan melebihi RM 1,000 sebulan dan menyatakan bahawa projek penamanan semula kelapa matag adalah dianggap berjaya. Data diatas menunjukkan bahawa penanaman kelapa matag telah mengubah sasaran penghasilan kelapa di negara kita daripada sebanyak purata 3,500 biji/ hektar /tahun oleh kelapa Malayan tall kepada sebanyak lebih dari 22,000 biji sehektar setahun melalui penanaman baru atau pennaman semula kelapa. Pencapaian program penanaman semula kelapa dalam RM ke 8 dan RM ke 9 dilaporkan adalah sebanyak 5,517 hektar dengan sebanyak 340 projek yang melibatkan seramai 6,500 petani. Program pemulihan kawasan kelapa pula melibatkan kawasan seluas 1,250 hektar dengan seramai 1,700 orang petani.
Malaysia masih merupakan pengguna tegar produk kelapa untuk kegunaan harian. Banyak menu makanan harian menggunakan asas produk santan kelapa seperti Nasi Lemak, Masakan kari, Kueh Mueh, Masak lemak cili padi, masak lemak putih dan bermacam lagi jenis masakan. Santan segar atau santan siap proses kini terdapat dipasaran dengan harga yang berpatutan. Keperluan produk kelapa dimusim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bertambah berlipat kali ganda untuk masak rendang serta lain2 menu menyebabkan berlaku pengimpotan buah kelapa dari negara jiran (terutamanya dari Indonesia) untuk menampong kekurangan. Program menambahkan kawasan atau menanam kelapa jenis baru seperti kelapa matag dijangka dapat memenuhi keperluan kelapa untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang.