Saturday, October 1, 2016

Penanaman Durian


PENANAMAN DURIAN

Nama Saintifik:DURIO ZIBETHINUS MURR
Nama Biasa :DURIAN
Famili :BOMBACEAE

DURIAN

Di Malaysia, buah durian dibiarkan luruh sendiri setelah masak dan dipungut setiap hari. Pada awal dan penghujung musim, buah dipungut sekali sehari (pada awal pagi) kerana bilangan buah yang luruh adalah sedikit. Pada pertengahan musim, buah perlu dipungut dua kali sehari (pagi dan petang) kerana bilangan buah yang luruh memuncak. Di Thailand, buah durian dipetik daripada pokok pada peringkat matang dan buah kemudian diperam hingga masak. Penuaian dengan cara ini membolehkan buah disimpan lebih lama dan dihantar ke pasaran yang lebih jauh. Adalah dijangkakan pada masa akan datang, cara penuaian seperti ini akan menjadi amalan biasa di Malaysia.

KEPERLUAN ASAS TANAMAN



Iklim

Ia memerlukan persekitaran yang panas dan lembap sama seperti yang terdapat di hutan tropika bagi membantu pertumbuhan vegetif. Tanaman durian hidup dengan subur di kawasan-kawasan di mana suhunya diantara 27-32oC, mendapat hujan diantara 1,800-4,000 mm setahun, mengalami musim kemarau antara 1-3 bulan, mempunyai peredaran udara dan angin yang baik serta mendapat cahaya matahari sepanjang tahun.

Kelembapan tanah yang diperlukan adalah lebih kurang 80%. Dalam keadaan kelembapan tanah yang tinggi, pokok-pokok durian berupaya menghasilkan pucuk-pucuk baru sekali setiap bulan, berbeza dengan pokok buah-buahan yang lain. Lebih kurang 90% dari tunas hujung baru berupaya menghasilkan daun baru. Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, anak pokok durian sangat peka kepada keadaan kemarau. Pengairan diperlukan untuk mengelakkan kematian. Ini adalah kerana sistem akarnya yang sangat cetek dan mudah ketandusan air.

Apabila mencapai peringkat matang pokok durian memerlukan satu jangkamasa musim kering diantara 1-3 bulan untuk mempengaruhi proses pembungaan dan pembuahan tersebut. Masa yang kritikal bagi perkembangan buah ialah kira-kira 4 minggu selepas bunga kembang. Ini disebabkan pada waktu tersebut, kadar pertumbuhan dan pembesaran buah adalah tinggi. Oleh itu air yang berlebihan menyebabkan pokok menghasilkan pucuk baru. Keadaan ini menyebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahan makanan antara buah muda dengan daun baru yang boleh menyebabkan buah gugur.


Faktor Tanah


Durian memerlukan tanah yang dalam, subur dan gembur kerana tanah-tanah tersebut mempunyai pengudaraan dan struktur yang baik untuk pertumbuhan akar. Tanah jenis lom hingga lom berpasir adalah paling sesuai. Tanah jenis lom lempung (clay loam) juga sesuai bagi tanaman durian tetapi memerlukan perparitan yang sempurna kerana durian tidak tahan dalam keadaan air bertakung. Tanah jenis lom dan lom berpasir banyak terdapat di lereng-lereng bukit. Walaupun tanah-tanah lom berpasir adalah sesuai untuk tanaman durian, tetapi ia tidak tahan dengan musim kemarau yang terlalu panjang. Penanaman durian di kawasan yang mengalami kemarau panjang, seperti di Utara Semenanjung, memerlukan sistem pengairan bagi menggalakkan pengeluaran hasil yang baik.

Contoh tanah yang dianggap sesuai bagi tanaman durian ialah:-

(a) Tanah yang berasal dari batu igneus seperti tanah siri Rengam dan Jerangau.
(b) Tanah lom liat berpasir yang berasal dari batu sedimentari (lihat siri-siri tanah Semenanjung Malaysia).
(c) Tanah lanar laut yang mengandungi kandungan liat yang tinggi, asalkan paras air dalam tanah tidak
terlalutinggi. Sebagai contoh: Siri Kangkong dan Siri Selangor di Semenanjung Malaysia. Tanah-tanah
bermasaalah seperti tanah bris, tanah pasir lombong, tanah asid sulfat, tanah masin, tanah gambut dan
tanah bertakung air adalah tidak sesuai.

Tanah-tanah yang berkecerunan 0-12o adalah sesuai untuk penanaman durian. Walau bagaimanapun, ia masih boleh ditanam di kawasan yang berkecerunan 12-20o jika langkah-langkah pemuliharaan tanah dibuat.


KLON-KLON YANG DISYORKAN

D 24
Klon ini berasal dari Bukit Merah, Perak dan telah didaftarkan pada 30 November 1937. Pokok cergas membesar, rendang dan rajin berbuah. Hasil purata pada peringkat awal (umur 6-9 tahun) ialah 10 biji sepokok setahun. Hasil akan meningkat ke 65 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Bentuk buahnya bulat membujur, bersaiz sederhana besar dengan berat diantara 1.0 - 1.8 kg sebiji buah durian. Pangsa mempunyai 1-3 ulas yang berwarna kuning pucat dan bersusun sebaris. Isi manis, pejal, bertekstrur halus dan sedikit pahit. Peratus isi ialah 26%. Pokok memerlukan tanah yang subur dan tidak tahan kemarau tanpa pengairan yang cukup. Tempoh matang buah ialah 105-110 hari selepas bunga kembang. Bijinya besar dan kebanyakannya merekah.


D 99
Durian ini dipanggil Kop Kecil, berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 17 Jun 1970. Pokok lasak tetapi lambat membesar.Pokok agak kecil tetapi rajin berbuah. Pada peringkat awal (pokok berumur 6-9 tahun) hasil ialah 7 biji sepokok setahun. Hasil akan meningkat ke 45 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Di pokok, buahnya didapati dalam keadaan berjambak. Saiz buah sederhana dengan berat diantara 1-2 kg. sebuah. Buah durian D 99 berbentuk bulat tetapi dempak di bahagian pangkal dan hujung buah. Kulitnya nipis berwarna hijau hingga hijau perang. Durinya kecil, pendek dan tajam. Buah boleh dikopek dengan mudah. Bilangan ulas boleh mencapai sehingga 25 ulas bagi sebiji durian. Isinya sederhana tebal, berwarna kuning terang dan tekstur isinya halus. Pokok tahan terhadap kanker batang dan persekitaran kering. Rasanya lemak manis. Kebanyakan biji durian jenis ini adalah leper atau kesep. Tempoh matang ialah 90-100 hari selepas bunga kembang.


D 123
Klon yang berasal dari Thailand ini dipanggil 'Chanee' dan didaftarkan pada 24 Julai 1971 serta sesuai ditanam di sebelah utama Semenanjung Malaysia. Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering. Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 30-40 biji sethaun. Buah besar, berat 2.5 kg. sebiji dan berbentuk bujur.. Permukaan kulit buah berlekuk dan berwarna hijau kekuningan. Isinya tebal, berwarna kuning keemasan, beraroma atau berbau kuat; rasa lemak dan manis dan tekstur isi yang sederhana halus. Peratus isi 30-40%. Tempoh matang buah ialah 105-120 hari selepas bunga kembang.


D 145
Klon durian D 145 berasal dari Beserah, Kuantan, Pahang dan didaftarkan pada 30 Oktober 1981. Durian ini juga digelar Durian Beserah, Tuan Mek atau Durian Hijau. Pokok sederhana besar dan sederhana cergas. Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 50 buah setahun. Buah berbentuk bulat, purata berat 1.4 kg. sebiji dan di bahagian hujung buah terdapat bentuk seperti puting. Durinya rapat dan panjang dan kulit berwarna hijau bila cukup matang. Isinya berwarna kuning keemasan, bertekstur halus dan rasa lemak manis. Peratus isi buah ialah 25%. Tempoh matang buah adalah 105-115 hari selepas bunga berkembang.


D 158
Durian ini berasal dari Thailand. Nama popularnya 'Kan You' atau Tangkai Panjang dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987. Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering. Saiz buah durian ini adalah sederhana besar dengan purata berat diantara 2-4 kg. sebuah. Warna kulitnya hijau perang, tangkai buah panjang (15-17 cm). Buah berbentuk bulat bujur, kulit buah berwarna hijau perang dan durinya pendek. Saiz ulasnya besar. Isi tebal, ulas besar dan berwarna kuning keemasan, pejal sedikit bersabut dan rasanya manis. Klon ini kurang beraroma jika dibandingkan dengan klon D 123. Peratus isi buah ialah 32%. Tempoh matang buah antara 130-140 hari selepas bunga berkembang.


D 159
Dikenali sebagai 'Mon Thong' atau Bantal Mas. Berasal dari Thailand dan popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987. Pokok sederhana besar, senang hidup apabila ditanam dan tahan kepada keadaan kering. Hasil purata sepokok (beruumur 10 tahun) ialah 60-100 biji semusim dan purata berat buah diantara 3.0-5.0 kg. Buah berbentuk bujur panjang dan bergelugur. Bahagian hujung buah tajam dan membengkok sedikit. Duri berwarna perang dan kasar. Ulasnya besar, isi tebal, berwarna kuning emas, rasa yang manis, tekstur isinya halus dan berkrim dan kurang beraroma. Peratus isi buah ialah 30-35%. Tempoh matang buah diantara 130-140 hari selepas bunga kembang.


D 169
Berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada tahun 1989. Klon ini juga dikenali sebagai 'Tok Li Tok'. Pokok sederhana besar dan pertumbuhannya cergas. Hasil purata sepokok ialah 40-50 biji setahun (berumur 10 tahun). Berat buah 1.2-1.8 kg. sebiji. Bentuk buah bujur panjang, kulit buah berwarna hijau kekuningan, nipis, mempunyai duri yang agak kasar dan tajam. Isinya tebal, berwarna kuning, sedikit bersabut dan lembut. Rasanya lemak manis dan pahit sedikit. Peratus isi ialah 25%. Tempoh matang buah ialah 100-110 hari selepas bunga kembang.


MDUR 78
Hasil dari kacukan D10 dan D24. Pokok cergas membesar dan rintang terhadap penyakit kanker. Berat buah 1-1.8 kg. sebiji. Kulit sederhana tebal. Berwarna hijau muda kekuningan dan berbentuk bulat membujur. Isi tebal, ulas besar, warna ulas kuning dan bertekstur halus. Rasa isi lemak, manis dan beraroma.


DUR 79
Hasil dari kacukan D24 dan D10. Pokok sederhana besar dan rintang kepada penyakit kanker. Rajin berbuah, buah berbentuk bulat membujur dan berat 1.0-1.6 kg. sebiji. Warna kulit hijau. Isi berwarna kuning jingga, ulas besar dan bertekstur halus. Rasa isi manis dan lemak.


MDUR 88
Klon hibrid, hasil kacukan antara D24 dan D10. Buah berbentuk bulat bujur. Saiz buah sederhana besar antara 1.5-2.0 kg. Isi sangat tebal dan berwarna kuning emas. Tekstur isi pejal, sederhana halus dan rasanya lemak manis. Hasil purata ialah 55-65 biji/pokok/musim.


SISTEM CAMPURAN DAN KOMBINASI KLON-KLIN DURIAN

Pada amnya, adalah disyorkan bahawa 3-5 klon ditanam bagi sesuatu dusun durian komersil untuk pendebungaan dan pasaran. Bagi sesuatu kawasan klon-klon yang disyorkan adalah terdiri daripada 3 kategori seperti berikut:-

Klon Utama
Klon-klon Subsidiary
Klon-klon Tempatan

Klon Utama
Bagi sesuatu dusun komersil, perlu ada klon utama yang terdiri daripada 50-70% daripada jumlah pokok yang ditanam. Dalam keadaan tertentu dua klon utama boleh ditanam.

Klon-Klon Subsidiary
Selain daripada klon utama, 2-4 klon subsidiary perlu ditanam untuk tujuan pendebungaan dan juga untuk pasaran. Klon-klon ini terdiri dari senarai klon-klon durian yang disyorkan.

Klon-klon Tempatan
Klon-klon tempatan merupakan klon-klon yang banyak terdapat dan terbukti berprestasi baik di sesuatu kawasan setempat. Pemilihan klon-klon ini adalah bebas dan terpulang kepada kehendak pekebun. Biasanya pekebun boleh menanam 5-20% klon-klon tempatan. Penanaman klon-klon durian mengikut kesesuaian tempat adalah seperti berikut:-

Jenis Klon Kawasan Utama Yang Sesuai
D 24 (Bukit Merah)
D 99 (Kop Kecil)
D 123 (Chanee)
D 190 (MDUR 88)
D 188 (MDUR 78)
D 145 (Beserah)
D 158 (Kan Yau)
D 159 (Mon Thong)
D 169 (Tok Litok)
D 189 (MDUR 79) Perak dan kawasan di mana kemaraunya pendek dan tidak nyata.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Pahang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Kelantan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.

PENANAMAN

Penyediaan Benih Tanaman

Penanaman durian pada masa ini menggunakan baka klon yang dibiakkan secara vegetatif. Teknik pembiakan benih bagi tanaman durian ialah dengan kaedah cantuman matatunas atau cantuman baji. Bahan pembiakan mestilah diperolehi dari sumber pokok induk yang disahkan ketulenannya. Anak benih mestilah sihat, subur, cergas, tidak berpenyakit dan dari klon yang tulen dan menepati standard yang ditetapkan. Spesifikasi standard minimum anak benih durian yang dibiak dengan menggunakan saiz polibeg berukuran 30 x 12 cm adalah seperti berikut:-

Faktor
Spesifikasi Standard Diperlukan

Ketinggian anak cantuman dari tapak cantuman (minimum)
Umur lepas cantuman (minimum)
Umur lepas cantuman (maksimum)
Bilangan daun sempurna
Saiz garis pusat batang pada paras 10 cm di atas tapak cantuman 30 cm
4 bulan
8 bulan
8 bulan
0.5 cm


Anak benih tanaman durian yang sihat, subur dan tuleh boleh diperolehi daripada pengeluar-pengeluar benih tanaman yang berwibawa. Bahan Tanaman Lanjut (Advanced Planting Material) merupakan benih durian cantuman yang tumbesarannya dijaga hingga ketinggian pokok melebihi 150 cm. Umur benih tanaman lanjut bagi durian dapat mengurangkan peratus kematian. Pertumbuhan pokok juga cepat dan tidak memerlukan perlindungan pada awal penanaman. Penyediaan benih tanaman lanjut bagi durian ini dibuat dengan menukar polibeg kecil kepada polibeg besar. Polibeg 30 cm x 45 cm biasa digunakan. Tanah campuran baru dimasukkan semasa penukaran polibeg. Pokok benih yang telah siap diubah perlu dijaga rapi dengan cukup pembajaan dan penyiraman di bawah sedikit lindungan. Benih tanaman lanjut durian perlu dibuat penyesuaian atau perlasakan (hardening) sebelum diubah ke ladang. Menanam durian klon D24 dengan menggunakan bahan tanaman lanjut didapati peratus kehidupannya adalah tinggi dan tumbesarannya lebih aktif.


Cantuman Ladang

Cantuman ladang ialah cantuman sion terpilih (klon) ke atas pokok penanti yang telah tersedia ditanam di ladang. Diantara kebaikan cantuman ladang ialah pokok-pokok penanti boleh ditanam terus dari peringkat awal percambahan atau dari anak biji benih. Gangguan kejutan mengubah benih pokok tidak timbul lagi dengan kaedah ini. Sejak awal lagi, pertumbuhan anak pokok penanti lebih subur dan tidak mudah mendiri. Setelah pokok-pokok penanti berumur lebih 4 bulan atau garis pusat batang pokok penanti mencapai 0.4-0.8 cm, cantuman sangat sesuai dilakukan pada paras ketinggian 30 cm dari paras tanah.

Kaedah cantuman ladang boleh dilakukan dengan cara cantuman matatunas atau cantuman baji sisi (selit) dengan keratan ranting muda. Setiap keratan muda mempunyai 2-4 matatunas. Pokok penanti di ladang yang subur dan cergas sahaja dipilih untuk dibuat cantuman. Sion atau matatunas klon terpilih dicantum ke atas pokok penanti. Kaedah cantuman adalah sama seperti membuat cantuman keatas pokok penanti di dalam polibeg di tapak semaian.

Pokok penanti perlukan bekalan air yang mencukupi selepas kerja cantuman ladang dilaksanakan. Cuaca yang tidak begitu kering dan hujan sekali sekala dalam seminggu adalah sesuai untuk menentukan kejayaan yang tinggi. Kemarau yang terlalu panjang melebihi dua minggu atau hujan terlalu lebat dan berpanjangan akan menurunkan peratus kejayaan. Selepas 3 minggu, balutan plastik cantuman boleh dibuka bagi cantuman matatunas, tetapi cantuman selit masih belum sesuai dibuka balutannya. Kejayaan cantuman dapat dinilai daripada warna dan keadaan sion yang masih hijau.

Selepas seminggu, matatunas mula becambah sepanjang 1 cm dan mengeluarkan pucuk hijau. Pokok penanti boleh dipotong 15 cm atas paras sion supaya menggalakkan pertumbuhan lebih aktif dan cepat. Pokok penanti yang pertumbuhan sion melebihi 10 cm atau melebihi 5 helai daun dipotong menghampiri paras cantuman sion-penanti. Sokongan kayu tegak perlu disediakan untuk pertumbuhan sion-penanti. Sebarang tunas selain dari sion yang dapat pada pokok penanti sentiasa perlu dibuang. Pengurusan pokok yang telah dicantum perlulah diteruskan dengan pembajaan, merumput, kawalan penyakit dan serangga dan penyiraman. Penyemburan foliar baja daun digalakkan supaya pertumbuhan pokok cepat dan aktif pada peringkat awal. Peratus kejayaan dengan menggunakan teknik cantuman ladang adalah tinggi.


Penyediaan Kawasan

Pokok-pokok, belukar dan semak samun perlulah dibersihkan. Parit saliran perlu dibina jika kawasan ladang itu agak rendah dan mendatar bagi mengelakkan air bertakung. Bagi kawasan yang berbukit-bukit yang mempunyai cerun melebihi 12o, teres atau platform perlu dibina sebagai satu langkah pemuliharaan tanah. Penanaman kekacang penutup bumi juga digalakkan untuk mengawal hakisan dan juga membekalkan unsur nitrogen kepada pokok-pokok durian. Kawasan ladang perlulah dibajak, sekurang-kurngnya satu pusingan bajak piring, diikuti oleh satu pusingan bajak putar, jika tanaman penutup bumi dicadangkan. Sebaik-baik pembajaan minimum atau tanpa pembajakan adalah digalakkan, jika penanaman penutup bumi tidak diperlukan.


Sistem Penanaman

Boleh ditanam dengan menggunakan 4 sistem iaitu sistem segi-empat tepat, sistem segiempat sama, sistem segitiga sama dan sistem sesiku keluang. Keutamaan sistem segitiga sama ialah (pada satu jarak yang sama) dapat memberikan bilangan pokok yang lebih, iaitu sebanyak 15% lebih jika dibandingkan dengan sistem segiempat sama. Sistem segiempat tepat dapat memberikan ruang diantara barisan untuk ditanam dengan tanaman lain sekiranya tanaman selingan atau campuran diamalkan. Manakala sistem sesiku keluang pula, melibatkan penanaman pokok pengisi di tengah-tengah sistem segi empat sama. Pokok pengisi bersifat sementara dan akan dibuang apabila kanopi mula bertaut. Sistem ini memberikan kepadatan pokok yang tinggi dan boleh memaksimumkan penggunaan tanah. (Sila lihat rajah sistem penanaman di sini) !

Dalam merancang penanaman durian, satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah tentang proses pendebungaan. Klon durian bersifat tidak serasi sendiri yang boleh mempengaruhi pembentukan buah durian. Oleh yang demikian, penanaman klon durian secara tunggal tidak digalakkan, sebaliknya penanaman pelbagai klon perlu dipratikkan. Langkah ini akan dapat mempertingkatkan proses pendebungaan, persenyawaan dan seterusnya hasil dan bentuk buah yang seragam.


Membuat Barisan dan Lubang Tanaman

Tumbesaran pokok durian lazimnya terjejas apabila kanopi pokok mula bertaut. Keadaan ini mengakibatkan permukaan tanah terlindung dan ia mewujudkan satu keadaan persekitaran yang lembap dan menggalakkan kejadian penyakit cerana batang. Jarak tanaman yang sesuai bagi durian mengikut jenis sistem penanaman yang diamalkan adalah seperti berikut:-

Sistem penanaman Jarak (meter)
Kepadatan pokok (pokok.ha)

Tiga segi sama
Empat segi sama
Empat segi tepat
Sesiku keluang 10x10x10
10x10
10x12
12x12 115
100
83
139



Penanaman di Ladang

Anak pokok durian memerlukan sedikit lindungan pada peringkat awal tumbesaran bagi mendapatkan pertumbuhan yang subur, cergas dan sempurna. Adalah disyorkan supaya kawasan ladang ditanam dengan tanaman yang boleh memberikan naungan sementara seperti pisang. Untuk tujuan demikian, tanaman naungan perlulah ditanam 6 bulan lebih awal daripada tarikh penanaman durian. Jarak tanaman bagi pisang ialah 3m x 3m.





Bagi memudahkan kerja-kerja penyediaan lubang, membaris barisan tanaman perlulah dimulakan dengan barisan dasar dan seterusnya menentukan lubang tanaman dengan memacak kayu-kayu pancang pada jarak yang dtetapkan. Apabila kerja membaris selesai dibuat, lubang tanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm hendaklah digali pada jarak yang ditetapkan. Seelok-elok lubang digali sebulan sebelum menanam dan didedahkan kepada sinar matahari. Selepas itu lubang tersebut ditimbus semula dengan menggunakan tanah lapisan atas yang lebih subur dan gembur. Jika didapati tanah itu kurang subur, campurkan baja organik seperti tahi ayam atau tahi lembu yang telah reput pada kadar 5-10 kg/lubang bersama tanah lapisan atas. Masukkan kembali ke dalam lubang. Bergantung kepada kesuburan tanah juga, taburkan 150 - 250 gm baja fosfat seperti CIRP pada tiap-tiap lubang tanaman. Lubang tanaman yang ditumbus kembali seelok-eloknya dibiarkan untuk tempoh satu minggu sebelum memulakan operasi penanaman anak benih.

Semua anak benih yang bakal diubah ke ladang hendaklah melalui proses perlasakan (hardening) bagi mengelakkan kejutan atau tegasan yang serius yang memungkinkan anak benih mati atau tumbesaran pokok terbantut. Proses perlasakan boleh diperolehi dengan mendedahkan anak benih kepada sinaran matahari penuh secara berperingkat atau mengurangkan kekerapan penyiraman, umpamanya dua kali sehari kepada satu kali sehari selama seminggu. Setelah itu, anak benih boleh diubah ke ladang.

Buat lubang kecil pada tengah lubang tanaman yang telah ditimbus tadi bagi menempatkan anak benih yang hendak ditanam. Letakkan anak benih di dalam lubang tersebut. Pastikan polibeg dipotong dan dibuang terlebih dahulu. Timbus lubang tersebut dengan tanah dan padatkan tanah keliling dengan sempurna. Naikkan sedikit tanah di pangkal pokok tersebut supaya kelihatan berbusut bagi mengatasi masalah air bertakung atau tanah mendap. Siram pokok itu dengan secukupnya selepas menanam, kecuali keadaan kandungan air pada tanah adalah mencukupi untuk keperluan anak pokok.

Anak pokok yang baru ditanam diikat pada kayu pancang bagi mendapatkan pokok yang tegak. Sekiranya tiada tanaman naungan, anak pokok durian perlu dilindungi dengan bahan lindungan sementara seperti bakul buluh, daun kelapa dan lain-lain bahan bagi mengurangkan kesan tegasan di ladang. Lindungan diperlukan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan pertama penanaman di ladang. Sungkupan juga diperlukan untuk diletakkan di pangkal anak pokok supaya kelembapan tanah terkawal bagi pertumbuhannya.


PEMBAJAAN

Pokok durian yang masih muda seelok-eloknya dibaja 4-6 kali setahun dengan kuantiti baja yang sedikit pada setiap kali pembajaan dilakukan. Bagi pokok matang pula, kadar baja ditambah dan kekerapan membaja 3-4 kali setahun. Cara pembajaan yang paling mudah adalah dengan menabur baja di bawah kanopi pokok sehingga terkeluar sedikit dari hujung kanopi. Teknik ini adalah sesuai untuk kawasan mendatar, di teres atau di tapak gajah. Bagi kawasan yang curam, pembajaan secara poket adalah disyorkan dengan membubuh baja ke dalam lubang sedalam 10 cm yang digali di sekitar kawasan hujung kanopi pokok sebanyak 4 penjuru. Lubang tersebut ditimbus kembali dengan tanah.

Tempoh masa yang paling sesuai membaja pokok durian yang telah matang ialah selepas musim buah sehingga satu bulan sebelum musim bunga. Masa yang paling sesuai ialah pada awal atau akhir musim hujan agar baja yang diberikan dapat diserap oleh pokok dengan seberapa banyak. Pembajaan pada musim kemarau perlu dielakkan kecuali sistem pengairan yang baik dapat diwujudkan.

Pengapuran amat penting bagi mendapatkan pH yang optimum bagi tumbesaran pokok durian. Pengapuran adalah disyorkan dengan menggunakan GML (Ground Magnesium Limestone) pada kadar 5 kg/pokok/tahun untuk pokok dewasa. Kadar pembajaan bagi pokok durian adalah seperti berikut:-

Umur pokok (tahun) Baja Yang Disyorkan Kg/Pokok/
Tahun Kekerapan Membaja Setahun
1 15:15:15
Baja organan 0.5
20.0 6
2 15:15:15
Baja organan 1.0
30.0 4
3 15:15:15
Baja organan 2.0
40.0 4
4 15:15:15
Baja organan 3.0
40.0 4
5 12:12:17:2
Baja organan 4.0
40.0 4
6 12:12:17:2
Baja organan 5.0
40.0 4
7 12:12:17:2
Baja organan 6.0
40.0 3
8-25 12:12:17:2
Baja organan 9.0
40.0 3



PEMANGKASAN

Pokok durian memerlukan cantasan yang bersistematik bermula dari peringkat awal pertumbuhan bagi mendapatkan bentuk pokok yang mempunyai satu batang utama yang tegak ke atas serta banyak dahan primer tersusun seimbang pada batang utama pokok. Kerja-kerja membentuk pokok hendaklah dilakukan secara berterusan bermula dari 3-6 bulan selepas tanam. Pada peringkat ini dahan-dahan primer yang berlebihan dan bersudut kecil hendaklah dibuang kerana ianya bersaing dengan batang utama dan akan memberi masalah kelak.

Apabila pokok telah membesar, dahan-dahan yang mencecah tanah, terlalu rapat, bertindih dan bersudut sempit hendaklah dibuang. Dahan-dahan yang berpenyakit juga perlu dibuang dengan segera bagi mengelakkan dari berjangkit ke dahan yang lain. Dahan perlu dipotong seberapa dekat yang boleh dengan dahan/batang asal. Bekas potongan perlu dirawat dengan racun kulat agar bahagian yang luka tidak dijangkiti penyakit. (Sila lihat panduan memangkas/mencantas pokok). Klik !

PENGURUSAN AIR

Air merupakan salah satu daripada keperluan asas untuk tanaman durian selain daripada udara dan tanah. Keperluan air merupakan salah satu faktor utama untuk meningkatkan tumbesaran pokok dan pengeluaran buah durian. Dengan adanya pengurusan air yang berkesan, pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan kepada 50%. Selain daripada itu, ia juga dapat mengurangkan kematian pokok terutamanya di peringkat awal pertumbuhan.

Terdapat beberapa jenis sistem pengairan yang boleh digunakan untuk tanaman durian. Diantaranya adalah sistem pengairan titis, sistem pengairan mikro dan sistem pengairan renjis. Pemilihan jenis sistem pengairan bergantung kepada kedapatan sumber air, kualiti air, bentuk muka bumi, kecerunan dusun, perbezaan aras tertinggi dan terendah serta modal kos pembangunan. Secara am, sistem pengairan yang sesuai digunakan untuk membangunkan industri dusun durian adalah sistem pengairan titis. Jika dibanding dengan sistem pengairan yang lain, sistem pengairan titis adalah sangat cekap dan tidak mahal dari segi kos pembangunan, pengendalian dan penyelenggaraan. Selain daripada menyalirkan air kepada tanaman durian, kegunaan sistem ini juga boleh dipelbagaikan untuk tujuan membaja, mengawal kelembapan tanah, mengawal suhu di dalam tanah dan di dusun.

Sistem pengairan sangat diperlukan semasa pokok durian telah matang, terutamanya semasa pokok berbunga dan berbuah. Kegunaannya boleh diperluaskan kepada menjalankan kerja pembajaan, mengawal kelembapan tanah, mengawal suhu persekitaran dusun dan di dalam tanah. Komponen utama yang terdapat di dalam sistem pengairan titis adalah sumber air, rumah pam, enjin/motor-pam, penyuntik baja, alat penapis, sistem paip, tiub high density polythene dan tiub low density polythene. Rekabentuk sistem pengairan bagi setiap dusun durian bergantung kepada potential evapo-transpiration rate, jenis tanah, bentuk muka bumi, kecerunan dusun, jenis tanaman, jarak tanaman, jenis paip dan tiub, jenis penyebar, perbezaan aras tertinggi dan terendah serta sistem pengendalian.

Dalam operasi sistem pengairan titis, fator utama yang perlu diambilkira adalah kualiti air. Walaupun alat penapis yang digunakan mempunyai kemampuan menapis sehingga 250 mesh, masih lagi terdapat partikel halus di dalam air yang boleh menembusi sistem penapisan dan mengakibatkan sistem pengairan titis tersumbat. Oleh yang demikian, rawatan di kawasan sumber air adalah sangat mustahak untuk mengurangkan kos penyelenggaraan. Pengairan untuk tanaman durian selalunya dibuat pada sebelah pagi dan petang. Ini adalah untuk mengelakkan penyejatan yang berlaku di waktu tengahari, meningkatkan kecekapan pengairan dan menentukan supaya air yang dibekal bukannya air panas yang terkena kepada cahaya matahari.

Bagi kawasan durian yang ditanam di tempat yang curam, masalah saliran timbul pada permulaan kawasan tersebut dibuka. Penebangan pokok-pokok dan pembersihan kawasan akan mendedahkan tanah tersebut kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Oleh itu adalah disyorkan bahawa kerja-kerja penyediaan permukaan tanah dibuat pada musim panas. Sekiranya teres dibuat di kawasan tanah curam yang telah dibuka, penanaman penutup bumi hendaklah dibuat dengan segera bagi mengawal hakisan tanah.

PENJARANGAN BUAH

Penjarangan buah adalah penting untuk mendapatkan saiz buah yang seragam, bentuk buah yang menarik untuk pasaran, mengelakkan serangan serangga dan mengurangkan beban pada dahan dan pokok serta mengelakkan dahan serkah dan mengurangkan persaingan tumbesaran pada buah. Penjarangan buah boleh dijalankan 3-4 minggu selepas bunga mekar apabila putik buah telah mencapai ukuran diantara 5-6 cm. Penjarangan buah dilakukan dengan membuang buah yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:-


Buah yang berbentuk bentong / bengkok
Buah yang rapat, duri bertemu di antara satu sama lain dalam satu jambak
Buah yang lebih dari satu biji pada satu tangkai
Buah yang telah diserang serangga
Buah yang di hujung ranting
Penjarangkan dilakukan dengan menggunakan sabit kecil yang tajam dan diikat pada galah.

PENYAKIT DAN CARA KAWALANNYA

Durian peka kepada beberapa penyakit pada semua peringkat pertumbuhannya dan boleh mengurangkan hasil atau mengakibatkan pokok mati. Antara beberapa penyakit utama pada tanaman durian cara kawalannya adalah seperti berikut:

Penyakit Bengkak Cerana Kanker (Phytophthora palmivora)

Merupakan penyakit yang paling serius. Penyakit bengkak cerana atau kanker batang adalah disebabkan oleh kulat Phytophthora palmivora. Penyakit ini menjangkiti bahagian batang dan akar pokok durian terutamanya di bahagian pangkal pokok yang berdekatan dengan tanah . la juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit lain seperti reput akar, hawar daun, mati rosot anak benih dan pokok dewasa serta reput buah. Penyakit mudah tersebar luas di seluruh kawasan penanaman durian terutama sekali dalam keadaan lembap.

Tanda-tanda penyakit:

Pada kulit batang pokok durian yang dijangkiti kelihatan nekrosis bercampur tompok-tompok hitam yang disebabkan oleh lelehan cecair yang terkeluar dari kulit batang. Pokok yang diserang agak teruk biasanya mempunyai tanda-tanda daun melecur, keguguran daun, pengeluaran bunga dan buah yang banyak dan akhirnya pokok akan mati.

Kawalan:

Penyakit ini hendaklah dikesan di peringkat awal lagi. Jika kawalan tidak dilaksanakan dan penyakit telah menjadi teruk maka adalah tidak ekonomik untuk mengawal penyakit ini. Penyakit ini hendaklah dikesan pada setiap lawatan terutama pada musim hujan. Kawalan serta merta perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penyakit ini merebak. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil:-

- Di peringkat tapak semaian; pastikan benih bebas dari penyakit.
- Jarakkan bahan tanaman di tapak semaian (jika perlu sembur dengan racun seperti metalaxyl/
fosetyl-aluminium.
- Di ladang, pastikan saliran di kawasan durian adalah baik (air tidak bertakung)
- Elakkan keadaan lembap di sekeliling pangkal pokok.

- Kikis sebahagian kulit kayu yang dijangkiti dengan pisau bersih. Rendam di dalam racun kulat atau methylated
spirit untuk mendedahkan keseluruhan tompok berpenyakit termasuk kawasan yang masih sihat di sekeliling
lesion. Sapukan kawasan yang terdedah dengan 1-2% liter bahan aktif metalaxyl, forsetyl aluminium atau
lain-lain racun kulat yang sesuai. Lesion akan menjadi kering dan tidak akan membesar. Pengawasan bulanan
adalah perlu untuk memastikan tiada lesion baru yang terjadi.

- Elakkan pokok dari mendapat cedera di bahagian akar dan pangkal pokok dekat permukaan tanah kerana
kecederaan di bahagian ini memudahkan jangkitan penyakit.

- Musnahkan bahagian pokok yang dijangkiti penyakit ini iaitu tisu-tisu kulit yang telah dikikis untuk rawatan,
buah-buah yang dijangkiti reput buah, serta pokok yang telah mati. Amalan ini akan mengurangkan penyakit
ini merebak lebih luas lagi.

- Tanam lebih dari satu klon durian. Campuran dengan klon yang kurang rentang pada penyakit adalah
disyorkan seperti klon MDUR 88.



Hawar Daun Rhizoctania

Sering berlaku pada peringkat semaian dan boleh juga menyerang tanaman durian di ladang. Tidak begitu serius tetapi boleh menyebabkan daun luruh dengan teruk terutama pada musim hujan atau di kawasan yang sangat lembap. Kulat R. solani menyerang daun dan boleh merebak ke ranting dan dahan dan seterusnya boleh menyebabkan simptom mati rosot.

Tanda-tanda penyakit:

Mula kelihatan sebagai bintik-bintik kecil, berair dan berwarna hijau kekelabuan serta dikelilingi oleh kawasan yang perang keunguan. Ia akan bertukar menjadi perang. Lesion-lesion ini akan bercantum menjadi besar bertukar warna dari perang tua ke perang muda apabila sudah kering.

Kawalan:

Buang dan bakar daun-daun yang diserang. Elakkan keadaan lembap dan pastikan pengudaraan yang baik di tempat semaian dengan mengatur anak-anak pokok tidak terlalu rapat. Di ladang, kumpul dan musnahkan daun-daun penyakit yang gugur ke tanah terutama pada musim hujan. Sembur dengan difenoconazole, flutolanil atau hexaconazole. Ulangi semburan sekiranya serangan masih berkekalan selang beberapa hari sebagaimana tercatat pada label.


Bintik Daun

Disebabkan oleh alga Cephaleuros virescens. Kelihatan tompok-tompok perang kemerahan yang berupa baldu pada permukaan daun dan di ranting-ranting. Daun menjadi kekuningan dan gugur. Penyakit ini selalu terdapat pada pokok durian tetapi tidak berbahaya pada pokok.

Kawalan:
Pastikan pokok dalam keadaan baik dengan memberi pembajaan yang optimum, pokok tidak terlalu rimbun, ladang tidak banyak rumpai dan mempunyai saliran yang baik. Jika diserang teruk, sembur dengan racun jenis kuprum.


Penyakit Cendawan Angin

Disebabkan oleh kulat Corticium salmnicolor. Ia menyerang ranting dan dahan pokok. Batang dan cabang yang dijangkiti menunjukkan keruping yang berwarna merah muda. Serangan teruk menyebabkan layu pucuk, daun gugur dan dahan mati. Ini selalu terjadi pada musim hujan.

Kawalan:
Cantas dan musnah bahagian yang dijangkiti kerana ini mengurangkan kejadian jangkitan. Pangkas bahagian yang berpenyakit dan bakar. Sapu bahagian yang terdedah dengan cat. Sembur atau sapu dengan racun kulat.


Anthraknos

Disebabkan oleh Colletotrichum gloeosporioides. Boleh dikesan apabila berlaku pengeringan batang dengan cepat, bermula dari hujung dan merebak ke bahagian bawah batang. Daun-daun menjadi kecut dan gugur. Apabila meristem hujung mati, pucuk-pucuk baru tumbuh dengan banyak pada bahagian bawah dahan sihat. Serangan pada daun boleh menyebabkan daun kering, bermula dari tepi atu hujung daun. Penyakit boleh merebak ke seluruh daun menyebabkan daun gugur. Penyakit ini biasa terdapat pada anak benih dan pokok yang lemah. Boleh dikawal dengan semburan racun kulat yang sesuai.


Cendawan angin Corticium (corticium salmonicolor)

Simptom: Batang dan cabang menunjukkan keruping berwarna merah muda, pucuk layu, daun gugur dan dahan mati. Amalkan pertanian yang baik dan gunakan racun jenis kuprum mengikut label.


Penyakit Cerna Durian (Patch canker)
Sila klik di sini untuk penerangan selanjutnya mengenai penyakit ini !


KAWALAN SERANGGA

Ulat Pengorek Buah
Guna perangkap lampu (dipasang setinggi 20-30 kaki di sekitar dusun). Sembur dengan racun serangga.


Ulat Pengorek kulit dan Batang (Bactrocera guitata Zeuzera coffeae Synantheden spp.)
Menyerang ranting, dahan dan batang. Dahan menjadi layu dan mati serta meninggalkan sisa buangan di atas tanah. Pangkas semua ranting yang ada tanda serangan dan musnahkan. Jika lubang pernafasan telah sampai ke pangkal pokok, suntik dengan racun kimia seperti Rogor dan Tamaron. Selepas disuntik, lubang-lubng tadi ditutup dengan tanah liat atau plastisin. Jika masih terdapat tanda-tanda serangan selepas 2 minggu, suntikan ulangan hendaklah dilakukan.


Ulat Pengorek Kulit (Synanthedon spp.)
Mengorek kulit bermula dari pangkal pokok. Tanda-tanda serangan ini jika melarat akan kelihatan tahi yang berwarna coklat kemerahan pada kulit-kulit batang. Jika kulit-kulit ini dikikis akan kelihatan ulat-ulat berwarna putih di dalamnya. Kikis bahagian kulit yang mempunyai tanda serangan. Sapu atau sembur racun serangga jenis sistemik yang sesuai
.

Ulat Pengorek Biji Durian (Mudaria magniplaga)
Larva yang menetas dalam buah memakan biji. Guna perangkap lampu. Kawalan dengan racun serangga seperti lambda-cyhalothrin.


Kumbang Pengorek Batang (Platypus spp)
Di dalam atau batang yang diserang terdapat ribuan lubang-lubang halus dan kumbang mengeluarkan habuk melalui lubang ini.


Teritip
Pokok diserang kelihatan pudar dan lama kelamaan diselaputi sepenuhnya oleh kulapuk hitam. Daun-daun menjadi kering dan layu dan akhirnya boleh menyebabkan ranting atau dahan tersebut mati.


Koya
Sejenis serangga berwarna putih yang menyerang daun dan buah pada semua peringkat pertumbuhan pokok durian. Serangga ini boleh dikawal dengan menyembur minyak putih pada bahagian yang diserang.


Nematod (Meloidogyne incognita)
Pokok kelihatan tidak segar dan terbantut. Kanopi jarang dan daun kekuningan, buah menjadi kecil, cepat matang dan pudar. Kulit tidak mengelupas. Akar menjadi bengkak dan berubah warna. Guna bahan tanaman yang bebas dari penyakit nematod. Tabur racun nematicid yang sesuai.


Anai-anai
Menyerang pokok yang masih kecil, akar pokok akan diserang dan akan mati. Serangan pada pokok dewasa akan kelihatan seperti terowong ana-anai daripada tanah. Siram racun serangga yang dapat mengawet serangan anai-anai.


Vertebrate Tupai
Untuk kawalan jangka panjang, populasi tupai boleh dikurangkan dengan memusnahkan serang tupai secara membersihkan belukar dan semak samun di kawasan ladang.

KAWALAN RUMPAI

Kaedah kawalan menggunakan racun rumpai adalah lebih efektif, praktikal dan ekonomik untuk mengurangkan saingan rumpai, kehilangan hasil dan menjimatkan kos pengeluaran.

TEMPOH DILARANG MENGUTIP HASIL

Penggunaan racun perosak hendaklah diberhentikan sebelum mengutip hasil berpandukan kepada tempoh dilarang mengutip hasil seperti berikut:-

Bahan aktif racun prosak
Tempoh dilarang
kutip hasil (hari)
difenoconazole
dimethomorph
fluazifop-p-butyl
flutolanil
fosetyl-aluminium
glufosinate ammonium
glyphosate isopropylamine
hexaconazole
lambda-chyalothrin
metalaxyl
metalaxyl-M
metalaxyl-M + copper oxychloride
pencycuron
phosphorous acid 14
14
14
14
30
14
1
14
7
14
14
14
3
14



KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH

Untuk memetik buah durian pada peringkat matang, terdapat beberapa panduan umum yang telah dibentuk sebagai indeks kematangan buah durian. Walau bagaimanapun tidak semua indeks ini sesuai untuk semua jenis durian. Indeks kematangan tersebut adalah seperti berikut:-

Pengiraan hari mengikut kalendar
Kaedah ini melibatkan bilangan hari dari peringkat bunga kembang atau putik sehingga buah boleh dipetik. Untuk memudahkan penuaian, tarikh pokok durian berbunga dalam sesuatu musim perlu dipastikan. Biasanya tarikh bunga kembang dikira pada masa lebih kurang 70% bunga durian sudah kembang. Umumnya buah durian mencapai kematangan di antara 90 dan 150 hari selepas bunga kembang bergantung pada klon atau kultivar.


Warna duri atau kulit
Bagi kebanyakan klon durian, warna hujung duri buah menjadi coklat tua apabila buah mencapai kematangan. Ini jelas kelihatan kerana bahagian tapak duri dan lurah di antara duri berwarna cerah.


Ciri-ciri lurah pada buah
Lurah atau alur di antara tapak duri mengembang dan warna bertambah gelap apabila buah matang.


Tangkai buah
Buah durian yang keluar dri dahan pokok mempunyai tangkai yang agak panjang. Pada tangkai ini terdapat bahagian absis iaitu bahagian yang akan memisahkan buah daripada pokok (menyebabkan buah luruh) apabila buah masak. Ketika buah masih belum matang, keseluruhan tangkai buah kelihatan sama besar. Apabila buah mencapai peringkat matang, bahagian absis kelihatan membengkak. Buah boleh dipetik apabila garisan absis sudah terbentuk sebahagian atau sepenuhnya. Garisan absis yang terbentuk sepenuhnya mengelilingi tangkai menandakan buah hampir luruh. Tanda sebegini jelas pada klon Chanee, Monthong dan juga D 24.


Keanjalan hujung duri
Buah yang matang biasanya mempunyai hujung duri yang anjal atau liut. Manakala buah yang belum matang mempunyai hujung duri yang keras.


Garis pangsa
Ruangan tempat isi atau ulas isi pada buah durian dipanggil pangsa. Buah durian biasanya mempunyai 5 pangsa. Garisan pangsa itu garisan yang memisahkan pangsa-pangsa ini akan jelas kelihatan pada kulit buah apabila buah sudah matang. Garisan pangsa kelihatan lebih jelas pada buah yang lebih matang.


Bunyi apabila buah diketuk atau dikeruk
Buah yang matang berbunyi kosong apabila diketuk dengan kayu atau rotan atau dikeruk dengan jari, sedangkan buah yang belum matang berbunyi padat.


Cairan tangkai buah

Apabila tangkai buah dituris, cairan akan mengalir keluar. Cairan yang keluar dari tangkai buah yang matang kelihatan jernih dan manis rasanya. Bagi buah yang belum matang, cairan berkeadaan pekat, boleh melekat pada jari apabila disentuh dan tidak berasa manis.

Bagi durian D 24, petunjuk kematangan yang paling sesuai ialah pembengkakan bahagian absis pada tangkai buah dan pembetukan garisan pangsa. Walau bagaimanapun, hanya dengan melihat pada garisan pangsa sahaja sudah memadai untuk mengenali buah yang telah matang dan kaedah ini merupakan yang paling mudah. Garisan pangsa kelihatan semakin jelas apabila buah semakin matang. Selalunya garisan pangsa kelihatan timbul apabila buah hampir masak atau gugur. Semua tanda kematangan di atas, walau bagaimanapun, dipengaruhi oleh keadaan alam sekitar dan kultivar yang membolehkan kesilapan berlaku ketika menentukan kematangan buah durian. Keadaan yang panas dan kering boleh mempercepat kematangan buah durian kadang-kadang sehingga 10 hari.


Tempoh Kemasakan Buah Durian

Klon Tempoh Kemasakan
D24
D29
D123
D145
D158
D159
D169
D188
D189
D190 10-115 hari
90-100 hari
90-100 hari
100-115 hari
105-120 hari
105-120 hari
100-110 hari
110-115 hari
100-110 hari
106-115 hari

Buah durian yang telah matang, dipetik dengan memotong tangkai buah 3-4 cm ke atas dari zon absis. Tangkai buah biasanya dipotong dengan pisau tajam atau gunting. Buah yang telah dipetik tidak boleh diletakkan di atas permukaan tanah tanpa dialas bagi mengelakkan pencemaran kulat semasa penyimpanan. Seelok-eloknya buah tersebut terus diletakkan di dalam bakul atau bekas yang sesuai. Bagi pokok yang tinggi, buah boleh dipetik dengan menggunakan tangga atau memanjat pokok tersebut. Bagi mengelakkan buah terjatuh ke tanah, buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bekas kecil seperti baldi dan kemudian diturunkan dengan tali. Seorang pekerja lain perlu berada di bawah pokok untuk menyambut buah tersebut dan dimasukkan ke dalam bakul mengumpul. Buah juga boleh diturunkan dengan tali sebiji demi sebiji dengan mengikatkan tali pada tangkainya.




PETUA MEMILIH ANAK BENIH DURIAN BERMUTU
(Sumber: Wawasan Pertanian BIl. 6 Vol. 1 Jilid 6)

Sekiranya anda bercadang untuk menanam durian, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Pertamanya anda perlu menentukan jenis klon durian yang sesuai untuk ditanam. Selepas itu sudah tentu anda memikirkan bagaimana dan di mana hendak mendapatkan anak benih durian yang bermutu.

Tempat Membeli

Terdapat banyak tempat yang ada menjual anak benih durian contohnya pasar malam, pasar tani, gerai pameran, tapak semaian dan sebagainya. Anda boleh membeli di mana sahaja yang anda fikirkan mudah untuk berurusan, tetapi anda juga harus memastikan adakah tempat yang anda beli itu menjual anak benih yang tulen. Adakah penjual yang menjual benih itu boleh dipercayai atau sebaliknya (atau hanya mementingkan keuntungan semata-mata). Dinasihatkan anda membeli anak benih durian di tapak semaian yang telah lama menceburkan diri dalam perniagaan anak benih. Selain untuk mendapatkan bekalan anak benih daripada mereka, anda juga boleh mendapatkan tunjuk ajar dalam beberapa perkara terutamanya cara menanam durian dan sebagainya.

Sewaktu berada di tapak semaian adalah lebih baik anda meninjau di sekitar tempat itu untuk menentukan anak benih yang dijual adalah anak benih yang dikeluarkan oleh semaian itu sendiri. Kadangkala terdapat juga pengusaha tapak semaian menjual anak benih yang dibeli dari tempat lain. Sekiranya perkara seperti ini berlaku, sudah tentulah penjual itu tidak dapat menentukan benih yang dijualnya itu benar-benar tulen. Perhatikan juga anak-anak benih yang terdapat di tapak semaian itu bebas daripada penyakit akar dan lain-lain penyakit yang berbahaya.

Kaedah penyediaan anak benih

Kebanyakan anak benih durian dijual di dalam polibeg yang telah dibuat cantuman anak benih daripada tunas induk klon (baka) yang terpilih. Biji-biji durian yang disemai di atas batas semaian akan dipindahkan ke dalam polibeg setelah berumur 4 bulan. Anak durian yang berada di dalam polibeg akan diberi penjagaan yang sempurna selama satu bulan sebelum boleh dibuat cantuman. Anak benih yang telah dicantum hendaklah dijaga dengan baik selama 3 bulan sebelum boleh dijual kepada pembeli.

Pembiakan anak benih durian boleh dilakukan dalam dua keadaan iaitu di kawasan terbuka dan di bawah naungan. Kebanyakan pengusaha tapak semaian lebih berminat membuat pembiakan anak benih di bawah naungan kerana penjagaannya tidak rumit berbanding dengan keadaan di kawasan terbuka. Pembiakan anak benih di kawasan terbuka memerlukan penjagaan yang rapi terutamanya dalam kerja-kerja penyiraman. Anak benih yang disediakan di bawah naungan biasanya kelihatan lebih subur, daun hijau cerah tetapi pokoknya agak lembut dan perlu diberi sokongan (kayu pancang). Manakala anak benih durian yang disediakan di kawasan terbuka didapati daunnya lebih kecil dan berwarna hijau pekat. Fizikal pokoknya kelihatan lebih tegap dan tumbuh menegak.

Kepada pembeli anak benih durian disyorkan supaya memilih anak-anak durian yang dibiakkan di kawasan terbuka kerana pertumbuhan anak benih ini agak lasak dan mudah menyesuaikan diri apabila ditanam di ladang. Sewaktu menanam di ladang anak benih ini tidak perlu diberi naungan. Ini sudah menjimatkan perbelanjaan menanam.

Memilih anak benih durian

Kesuburan pokok
Sewaktu memilih anak benih durian pastikan memilih anak benih yang subur. Cara yang mudah untuk mengenali anak benih yang subur adalah dengan memerhatikan jarak antara daun hendaklah jauh iaitu antara 1.5 hingga 2 inci. Pokok yang tidak subur dan pertumbuhannya terbantut mempunyai jarak daun yang rapat. Pokok yang subur terdapat banyak pucuk baru walaupun daun-daun dibawahnya ada yang masih muda berbanding dengan pokok yang tidak subur di mana kerana pokoknya kurang mengeluarkan pucuk baru dan daun yang terdapat di bawahnya telahpun tua. Jangan memilih anak benih yang berdaun kuning, ada kemungkinan anak pokok ini tidak cukup menerima nutrien atau anak benih ini mempunyai masalah penyakit akar.


Fizikal pokok
Sewaktu memilih anak benih pilihlah anak benih yang tingginya melebihi satu kaki, mempunyai batang pokok penanti yang lurus, besar dan tegak. Begitu juga batang cantuman hendaklah besar (kecil sedikit daripada batang pokok penanti), lurus dan tegak.


Bebas daripada penyakit
Pastikan anak benih yang dipilih tidak mempunyai tanda-tanda serangan penyakit terutama penyakit akar dan kulat. Tanda-tanda boleh dikesan daripada pemerhatian fizikal pokok (Sumber: Wawasan Pertanian BIl. 6 Vol. 1 Jilid 6).





PENDEBUNGAAN BERBANTU DURIAN
(Sumber: Wawasan Pertanian BIl. 6 Vol. 1 Jilid 6)

Bunga durian yang berkembang mekar berjambak-jambak adalah fenomena biasa pada awal musim durian. Sama ada disedari atau tidak cuma 1-2% sahaja bunga durian yang akan membentuk buah, adakalanya langsung tidak menghasilkan buah. Penghasilan buah durian adalah bergantung kepada beberapa faktor dalam proses pendebungaan. Proses pendebungaan durian akan terjadi apabila debunga (polen) daripada bunga lain hingga ke stigma (bahagian betina bunga) yang dibawa oleh agen-agen pendebungaan. Agen-agen pendebungaan semulajadi terdiri daripada kelawar, kupu-kupu, kelulut dan beberapa jenis semut yang datang untuk mendapatkan manisan yang terdapat pada bunga durian yang sedang mekar.

Antara faktor-faktor kegagalan proses pendebungaan semulajadi

Salah satu faktor menyebabkan kegagalan proses pendebungaan ialah kadar kuantiti agen-agen pendebungaan semulajadi seperti kelawar, kupu-kupu, kelulut dan semut yang rendah atau kurang. Keadaan ini boleh berlaku di sesetengah kawasan yang mengalami gangguan ekosistem dan salah satu daripada puncanya kerana kekerapan penggunaan racun serangga.

Selain itu pendebungaan yang terjadi daripada klon durian yang sama, contohnya debunga daripada klon D24 tidak menghasilkan persenyawaan dengan pokok-pokok daripada klon yang sama (D24). Fenomena ini kerap berlaku dikalangan penanam durian secara 'hobi tani' (menanam sebatang dua pokok durian di keliling rumah). Mereka dalam kategori ini biasanya memilih klon durian yang baik sahaja tanpa menyedari mereka telah menanam pokok-pokok durian dari klon yang sama atau klon-klon yang tidak serasi untuk menghasilkan pendebungaan. Ketidakserasian antara klon-klon dalam proses pendebungaan dan ketidaksesuaian pendebungaan sendiri juga menjadi faktor penghalang kepada kejayaan pendebungaan.

Alternatif kepada pendebungaan semulajadi

Setelah memastikan pokok durian kita menghadapi masalah dalam proses pendebungaan semulajadi, satu alternatif lain boleh diamalkan - pendebungaan berbantu. Pendebungaan berbantu durian adalah kaedah membantu pendebungaan bunga durian iaitu dengan memindahkan debunga ke stigma bunga untuk proses persenyawaan. Kaedah ini terhad iaitu bunga-bunga di dahan rendah atau yang dapat didebungakan saja manakala bunga-bunga yang tinggi masih mengharapkan bantuan agen-agen pendebungaan semulajadi.

Teknik pendebungaan berbantu durian

Untuk membantu pendebungaan bunga durian, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebagai persediaan bagi menjalankan proses pendebungaan berbantu. Pendebungaan berbantu durian biasanya dijalankan pada sebelah malam iaitu semasa bunga berkeadaan mekar iaitu bermula antara pukul tujuh malam hingga tengah malam. Bagi mengenali tanda-tanda bunga mulai mekar dan sedia untuk didebungakan dapat dikesan melalui baunya yang harum dan manisan yang dikeluarkan oleh bunga durian.

Sumber debunga (polen)

Debunga perlu disediakan sebelum melakukan pendebungaan. Penyediaan debunga elok dibuat pada sebelah petang kerana bunga durian kembang pada waktu petang, biasanya mulai pukul lima petang. Seeloknya sumber debunga daripada klon yang berkaitan perlulah dipilih bagi menjamin kejayaan yang tinggi. Klon durian D99 adalah antara klon durian yang mempunyai sifat keserasian yang tinggi. Klon durian ini boleh digunakan sebagai sumber debunga kerana keserasiannya dengan kebanyakan klon-klon durian yang lain.

Kuntum-kuntum bunga yang mula kembang perlu disimpan dalam bekas yang berisi sedikit air, dengan tangkai bunga sedikit terendam dalam air (kuntum bunga disusun tengah berdiri). Permukaan bekas mestilah ditutup dengan kain bagi mengekalkan kelembapan. Kuntum bunga yang disimpan ini akan mekar sama seperti bunga di pokok. Debunga bunga durian akan aktif atau matang dua jam selepas kembang dan keadaan ini dinamakan bunga 'mekar'. Kebiasaannya bunga mula mekar mulai pukul tujuh malam. Bagi memastikan debunga telah matang atau telah aktif, sentuhlah cepu debunga dengan hujung jari. Sekiranya terdapat debunga yang berwarna kuning air melekat di hujung jari bererti debunga telahpun matang dan bolehlah digunakan untuk pendebungaan berbantu.


Stigma (bahagian betina bunga)

Stigma yang terletak di tengah bunga akan kelihatan sedikit menonjol keluar apabila bunga telah kembang. Sebagai tanda stigma telah aktif atau sedia menerima debunga untuk proses persenyawaan, permukaannya berwarna oren dan apabila disentuh dengan hujung jari kita dapat merasai keadaan melekit pada permukaan stigma.




Perlakuan pendebungaan berbantu

Dalam perlakuan mendebungakan bunga durian, debunga dari bekas stamen disapu atau disentuhkan ke stigma bunga yang hendak didebungakan. Perlakuan ini diulangi sehingga kelihatan debunga yang berwarna kuning air melekat pada stigma. Sekuntum bunga durian mempunyai lima berkas stamen dan setiap berkas stamen boleh mendebungakan lima kuntum bunga yang mekar. Ini bermakna sekuntum bunga yang dipetik pada sebelah petang sebagai sumber debunga dapat mendebungakan 25 kuntum bunga durian.

Selepas proses pendebungaan, bunga yang tidak sempurna didebungakan akan gugur dalam masa 1-2 minggu. Proses persenyawaan yang berjaya akan membentuk putik dan terus membesar hingga matang. Masa yang diambil daripada proses pendebungaan hingga buah matang dan gugur adalah antara 95 hari hingga 145 hari iaitu berbeza-beza mengikut klon.


MITOS DURIAN (Pantang Larang Durian)


MYTHS KONONNYA
Pokok durian tidak boleh kena tembakan
Batang durian jangan dirembas dengan batang tepus
Jangan dikait buah durian di pokok
Jangan tambat binatang ternakan di bawah pohon durian
Jangan menebas dibawah pokok pada musim berbunga
Jangan berkelahi/berebut-rebut hasil buah durian
Minumlah air dari dalam kelopak kulit durian
Pokok durian perlu diasapkan
Jerut pokok durian dengan akar lembut
Jangan buat ampaian pada pokok durian
Jangan taruh carbide di pangkal pokok
Jangan tongkat dahan yang berbuah dengan buluh
Pokok akan mati meragan kerana bisa peluru.
Semua buah durian di atas pokok akan gugur.
Buah susah gugur di musim akan datang.
Akan rosak dan pokok akan terbantut dan mati.
Bunga akan gugur dan buah tidak menjadi.
Buah tidak menjadi di musim akan datang.
Untuk kurangkan kepanasan dan sendawa berbau.
Menjadi baja daun & mengelakkan serangga perosak
Menggalakkan pokok berbuah lebat.
Buah akan berkurangan dan pokok mungkin mati.
Akar akan rosak dan pokok mati kepanasan.
Dahan akan mati selepas musim buah.



No comments:

Post a Comment